RATUSAN anggota penyelamat di Vietnam bertungkus lumus menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang terjatuh ke dalam lubang sedalam 35 meter di tapak pembinaan sejak dua hari lalu.

Mangsa, Thai Ly Hao Nam, terjatuh dalam lubang batang tiang konkrit selebar 25 sentimeter yang dibina untuk jambatan baharu ketika sedang mencari besi buruk.

"Kami sedang berusaha yang terbaik. Kami tidak boleh memberitahu keadaan budak itu lagi," kata seorang anggota penyelamat yang dikenali sebagai Sau.

Menurut laporan media tempatan, penyelamat telah cuba menggali dan melembutkan tanah di sekeliling bagi menarik tiang untuk menyelamatkan Nam.

Akhbar Vietnam Tuoi Tre melaporkan pihak berkuasa tidak mengetahui keadaan semasa budak itu.

Dia berhenti berinteraksi dengan anggota penyelamat di luar walaupun oksigen telah dipam masuk ke dalam lubang tersebut.

Pada Isnin, Perdana Menteri Pham Minh Chinh meminta anggota penyelamat di peringkat persekutuan menyertai usaha pihak berkuasa tempatan untuk menyelamatkan Nam. - Sinar Harian/ Agensi